Jumaat, 16 April 2010

Hitam Putih Facebook

Rasanya sudah lama saya tidak menulis. Banyak kekangan yang terpaksa ditempuhi. Tugas sebagai guru masa kini bukanlah satu tugas yang mudah dan tidak boleh dipandang mudah..... macam-macam tugas yang mesti dilaksanakan:
  • Mengajar dalam kelas, 
  • memotivasikan pelajar dalam dan luar kelas, 
  • bermain bersama di padang, 
  • menaip soalan peperiksaan, 
  • menjadi doktor untuk klinik mata pelajaran, 
  • merawat pesakit jiwang cinta monyet
  • penyiasat kes curi
  • ibubapa angkat kepada 40 orang anak pelbagai bangsa dan agama
Kalau nak senaraikan semuanya tugas guru sekarang, rasanya bosan untuk menaip dan mungkin sesiapa yang bukan guru tidak akan faham dan percaya. Bukan mudah untuk memujuk hati, menerima semua tugas guru di Malaysia zaman sekarang. Tetapi, memandangkan tugas ini satu tugas yang mulia, hampir-hampir tugas seorang rasul, maka sebaiknya semua guru ikhlaskan diri menjadi guru yang sebenar-benarnya.....

Akhir-akhir ini ramai guru mencari jalan untuk meredakan tekanan bekerja. Antaranya dengan merekacipta dan melawati Facebook...... Saya juga teruja apabila sering ditanya rakan-rakan sekerja, "ada facebook tak?"
Pada mulanya, saya bingung juga memikirkan, binatang apa facebook tu. Tetapi apabila berjinak-jinak dengan internet, barulah aku kenal apakah itu facebook. Bukanlah binatang atau manusia atau makanan. Tetapi jika disalahgunakannya maka ia boleh menjadi apa saja, walaupun mungkin ia boleh menjadi binatang atau syaitan, racun atau pengubat, atau apa saja mengikut niat dan cara menggunakannya.

Jumaat, 2 April 2010

Tahniah..... untuk siapa, untuk apa? Terima kasih, Alhamdulillah...

Alhamdulillah, sekali lagi berkesempatan menulis. Tanggal 27 Mac 2010 yang lalu, SMK BA sekali lagi dikejutkan dengan gelaran johan Syarahan Agama (P). Saya pun terkejut dan apatah lagi saudari (Mai) yang menyandang gelaran tersebut. Sebenarnya, saya pun tak faham bagaimana boleh jadi begitu. Sebenarnya dari awal lagi Mai ingin menarik diri daripada menyertai peringkat Daerah tetapi atas desakan dan pujukan saya, beliau terima. Mai memang berbakat dalam syarahan, tapi kali ini, dia tak yakin untuk mengambil bahagian sebab lawannya ialah bekas peserta dari SMKBA juga beberapa tahun yang lalu. Dia rasa begitu kerdil di hadapan lawannya. Saya dapat rasakan dari riak wajahnya. Tapi saya diam dan terus beri semangat padanya. Saya pernah katakan padanya bahawa ini peluang yang Allah berikan padanya untuk menimba pengalaman menyertai pertandingan ke peringkat negeri kalau menang di peringkat Daerah. Mungkin juga...... tapi Mai kata, ini bukan peluang tapi ujian... mungkin juga.

Pada hari penyampaiaan semula hadiah johan di hadapan perhimpunan..... saya yang turut gembira bercampur risau.. dihujani dengan ucapan tahniah dari rakan guru.  Untuk siapa ucapan tahniah? Untuk aku kah atau untuk Mai? Bagi saya, ucapkanlah tahniah itu pada Mai, dia yang lebih berhak menerimanya. Saya hanya melatih dan meletihkan dia...   siapalah guru, kalau tiada pelajarnya.....

Alhamdulillah... benarlah Allah berikan peluang dan ruang pada Mai untuk pergi lebih jauh dalam bidang syarahan agama.

Sayang 1000 kali sayang, terkilan bukan kepalang saya dibuatnya, bila Mai ambil keputusan untuk menarik diri dari menyertai peringkat negeri. Dia masih tak yakin pada dirinya.... tetapi alasan yang dia berikan pada saya ialah untuk memberi tumpuan pada PMR akan datang. Saya tak berapa percaya itu alasan yang sebenar. Hingga kini, saya masih tak percaya. Apabila bercakap soal syarahan, yang saya nampak di wajahnya ialah ketakutan..... kerana itulah saya redha dan rela dia menarik diri.... terima kasih ya Allah, walaupun tak sampai ke peringkat negeri, tetapi Kau beri peluang pada Mai untuk memegang gelaran johan di peringkat daerah. Saya merasakan penarikan diri Mai dari pertandingan peringkat negeri ada hikmah yang tak terhitung disebaliknya. Antaranya, beri kerehatan pada saya dari merekatulis teks syarahan dan meletihkan diri melatih peserta. Apa-apa pun... alhamdulillah, semuanya ada hikmah yang kita tak tahu.

Selasa, 23 Mac 2010

Catatan Seorang Perempuan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiba-tiba teringat saya ketika sembang bersama Cikgu Sardrina  satu petang setelah selesai sesi persekolahan pagi di cafetaria Idaman. Tahniah! Sardrina bakal menjadi ibu. Itulah status yang paling bermakna bagi seorang isteri. Tidak semua isteri berpeluang mendapat status demikian. Saya pun, suatu ketika dulu, hampir putus asa kerana ketika itu belum dikurniakan cahaya mata. Pelbagai cara telah diusahakan tetapi Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Saya redha dengan ketentuanNya. Alhamdulillah... berkat kesabaran dan keyakinan pada Allah... kami dikurniakan rezeki.

Berdasarkan pengalaman saya, terlalu banyak tohmahan yang diterima dari orang sekeliling hanya kerana tak ada anak. Semuanya ditelan begitu aje... saya tak ambil pusing sangat. Saya yakin, semua orang ada rezekinya masing-masing. Setiap orang tak sama bentuk rezekinya. Mungkin ada orang yang Allah kurniakan rezeki dalam bentuk anak yang ramai, ada orang yang rezekinya dalam bentuk harta melimpah ruah, ada pula yang kedua-duanya sekali. Ada juga yang tak ada langsung, serba kekurangan sebagai ujian dari Allah untuk menguji kesabaran dan tahap keimanannya. Kita sebagai hambaNya, wajib bersyukur dengan apa yang telah Allah tetapkan.....


Muafakat Membawa Berkat

Hari ini merupakan hari yang paling sibuk selepas cuti sekolah minggu lepas. Walaupun sibuk, tetapi seronok dan ceria sepanjang hari... Alhamdulillah, tugas AJK Hadiah dan Sijil, MTQ Peringkat Daerah, selesai hampir 98.9% sebelum majlis bermula pada 27 Mac 2010.


Semua ini adalah berkat permuafakatan yang kami semua amalkan dalam apa jua aktiviti. Kerja-kerja membalut, melabel dan mengkategorikan lebih kurang 370 buah hadiah, dilaksanakan umpama kerja di sebuah kilang membungkus hadiah. masing-masing tekun buat kerja tanpa mengira pangkat dan kedudukan sambil bergurau senda... Walaupun masing-masing ada jadual kelas sendiri, tetapi itu tak jadi soal. Kami saling bertukar syif di "kilang bungkus hadiah" tu. Tak dapat elaun kerja lebih masa pun, "Aiman tak kisah". Apa yang penting? Kerjasama...............


Saya amat berterima kasih kepada pihak pentadbir, Tn. Pengetua, Pn. Hjh Romlah dan Pn. Che Rasnah yang turut serta dalam syif tersebut.... juga kepada Mr. Lim yang memahami dan memantau pengawasan kelas, sebab pelajar sedang emnduduki Peperiksaan Mac. Syukron jaziilan kepada semua rakan guru yang turut serta dalam misi "kilang bungkus hadiah". Semoga Allah membalasnya.

Isnin, 22 Mac 2010

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selamat bertemu di ruangan yang begitu lebar dan luas bagi saya, walaupun pada mata kasar kelihatan sempit. Saya terpanggil untuk menulis blog atas sebab saya merasakan banyak perkara boleh kita berkongsi bersama, tidak kiralah pengalaman sendiri atau pengalaman orang lain.

Sebagai manusia di muka bumi Allah ini, kekadang kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai khalifah.Bagi saya, di mana kedudukan kita sekarang, sebagai apa kita; anak ke, ibubapa ke, guru ke, pelajar ke,pemimpin ke, ahli korporat ke, kuli ke, taukeh ke, penjual ke, pembeli ke, apa-apa aje la, di situlah bermulanya kita sebagai khalifah...

Sepanjang kehidupan, mungkin kita berada di semua kedudukan yang saya tuliskan di atas. Bagaimana kita kendalikan? Ikut style masing-masing la kan.

Tetapi, ramai orang sering lupa. harap-harap tu tidak termasuk saya. Ketika kita berada di tempat yang selesa, kita sombong dengan orang yang berada di tempat yang kurang baik, pada hal kita pernah berada di situ...... ketika kita berada di atas, kita mendabik dada seolah-olah kitalah yang hebat, langsung tak pandang bawah, padahal kita pernah berada di bawah suatu ketika dulu...

Saya rasa kalau manusia saling faham-memahami, saling rasa merasai, cuba berada di tempat orang lain, tentu dunia ini aman.... Memang betul pun sebagaimana Allah berfirman: انما المؤمنون إخوة ...